Oleh : Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya |
Maka Ibnu Hazm Al-Andalusi yang merupakan ulama kurun ke-3H mengatakan bahawa hadis ini mu’allaq, dhaif dan tidak boleh dipakai. Dia di antara ilmuan Islam pertama yang menolak hadis-hadis mu’allaq dalam Sahih Bukhari, antaranya hadis Al-Ma’azif, di mana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِى أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ
“Benar-benar akan ada di kalangan umatku kaum-kaum yang menghalalkan zina, sutera (bagi lelaki), khamr (arak), dan muzik.” (Riwayat Al-Bukhari dengan lafaz yang jazm/tegas)
Apabila dikatakan “akan ada di kalangan umatku satu kaum yang menghalalkan muzik” ini menunjukkan bahawa hukum muzik itu adalah haram pada asalnya.
Perkataan Al-Ma’azif di dalam hadis itu juga diperselisihi di kalangan ahli ilmu tentang pengertiannya. Apakah ia bermaksud peralatan muzik ataupun ia bermaksud pemuzik, ataupun ia bermaksud kedua-duanya sekali. Yang tepatnya seperti yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Al-Qayyim rahimahullah, apa yang diertikan dengan Al-Ma’azif adalah peralatan-peralatan muzik.
Para ahli ilmu di dalam memahami isu muzik berselisih kepada tiga pendapat; 1) muzik itu haram secara mutlak, 2) muzik itu harus tetapi bersyarat, 3) muzik itu harus secara mutlak (pendapat Ibn Hazm).
Di kalangan ilmuwan kontemporari, ada yang mengatakan muzik itu harus tetapi bersyarat, contohnya tidak lagha (sia-sia), liriknya bagus, tidak melalaikan dan sebagainya.
Dan sebahagian ilmuwan lagi memegang pendapat yang mengatakan muzik haram secara mutlak berdasarkan nas atau dalil yang tegas dari Al-Quran dan Hadis, antaranya seperti hadis di atas serta banyak lagi perbuatan para sahabat yang membenci dan mengelak dari mendengar muzik.
Maka pendapat mana yang benar dan hendak kita pilih?
Apabila kita berhadapan dengan isu seperti ini, pertama sekali hendaklah kita kembalikan perselisihan itu kepada nas Al-Quran dan Hadis. Hadis yang dikatakan mu’allaq oleh Ibn Hazm tadi telah dijawab oleh ulama hadis yang lain bahawa ia bukan hadis mu’allaq. Ini kerana di antara metodologi Imam Bukhari, kadang-kadang apabila hadis itu berulang, dia tidak menyatakan sanadnya. Tetapi sebenarnya hadis itu maushul (bersambung sanadnya).
Perkara ini telah dijawab oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam kitab beliau Ta’liqu Al-Ta’liq yang mempertahankan Sahih Al-Bukhari. Dia telah membuktikan bahawasanya hadis-hadis yang Imam Bukhari nyatakan tanpa sanad sebenarnya semuanya bersanad. Antaranya adalah hadis muzik tadi. Maka hadis itu sahih dan wajib diterima.
Jadi wujud pendapat yang mengatakan muzik itu haram. Muzik mesti dijauhi dan dielakkan. Dalilnya banyak lagi, antaranya bukti dari perbuatan Abu Bakar As-Siddiq radhiyallahu ‘anhu apabila dia masuk ke rumah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, dia mendengar budak perempuan yang masih kecil menyanyi sambil memukul duf. Apabila dia mendengarnya, dia marah lantas mencelanya dengan mengatakan, “Seruling-seruling Syaitan!” Nabi mengatakan kepada Abu Bakar, biarlah, mereka sedang berhari raya. Hadis ini menjadi antara titik utama perselisihan.
Satu kumpulan mengatakan Nabi mengizinkan, menunjukkan ada pengecualian. Maka wujudlah pandangan yang mengatakan boleh dengan bersyarat.
Pendapat yang membolehkan ini telah dijawab oleh orang-orang yang mengatakan muzik ini haram, mereka mengatakan bahawa sesungguhnya muzik ini haram kepada semua orang kecuali kepada kanak-kanak perempuan, dan di sana ada pengecualian kepada peralatan-peralatan tertentu seperti duf. Namun Nabi membenarkannya hanya untuk kanak-kanak perempuan. Nabi tidak menyuruh Abu Bakar menyanyi satu lagu, Nabi tidak menyuruh sahabat menyanyi, dan Nabi tidak ada pertubuhan Nasyid, kelab Nasyid dan sebagainya. Semua ini tidak ada dan tidak pernah dibuat pada zaman Nabi dan para sahabat.
Jadi mereka mengatakan muzik haram. Kenapa haram?
Kerana apabila Abu Bakar mencela, dan mengatakan bahawa muzik ini adalah seruling-seruling Syaitan, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sama sekali tidak mengkritik atau membantah perkataan Abu Bakar yang mengatakan sedemikian. Ini bererti Nabi mengakui bahawasanya benar nyanyian dan pukulan itu merupakan seruling-seruling Syaitan, cuma Baginda memberi pengecualian kepada kanak-kanak yang masih kecil untuk bergembira pada hari Raya mereka.
Para ulama yang mengharamkan ini berusaha untuk menyamakan pandangan mereka dengan teks-teks hadis.
Maka yang mana hendak kita ikut?
Pandangan yang mengatakan muzik harus juga menggunakan hadis yang sama tetapi mereka memahaminya secara umum. Mereka melihat Nabi membenarkan kepada semua orang. Bahkan mereka menggunakan dalil-dalil Syair untuk membenarkan nyanyian, di mana sahabat-sahabat Nabi ada yang bersyair.
Syair Arab hakikatnya bukan seperti syair kita yang berlagu-lagu. Syair Arab hanyalah dibaca seperti sajak, disebut seperti bacaan biasa, tanpa lagu dan tanpa dinyanyikan.
Jadi pendapat yang menggunakan dalil Syair untuk mengharuskan nyanyian ini juga tertolak.
Adapun kita apabila berhadapan dengan dua pandangan ini, kita jadi keliru. Mengapa kita keliru? Sebab kita minat muzik. Apabila kita minat muzik, kita merasakan pendapat yang mengharamkan itu terlalu berat dan keras, tidak sesuai dengan kita. Kita cenderung kepada pendapat yang mengharuskan kerana ia lebih longgar dan kena dengan minat kita.
Agama ini bukan soal keras sangat, tegas sangat, literal sangat atau mengikut apa yang kita suka. Literal kita dengan Al-Quran dan hadis Nabi sallallahu’alaihi wasallam sebenarnya sangat baik selama mana sesuai dengan kaedah. Jangan literal tidak ketahuan.
Para ulama yang mengharamkan muzik berhujah dengan kaedah. Mereka bukan berhujah semberono, melihat satu hadis dan terus mengeluarkan hukum. Tidak. Mereka telah menghimpunkan kesemua dalil dan mereka mengikuti kaedahnya dan itulah hasil dari kefahamannya.
Saya dulu daripada kecil sampai masuk sekolah menengah merupakan penasyid, menyanyi bersungguh-sungguh bersama kumpulan nasyid, membuat persembahan di sana sini. Nasyid atau lagu, kalau tidak sedap siapa yang hendak dengar?
Kalau kita mengatakan, “Kita telah menyampaikan mesej dakwah melalui lagu ini”, kalau lagu itu tidak sedap, siapa yang hendak mendengarnya?
Siapa yang hendak mengambil manfaat daripadanya? Bahkan kalau sedap sekalipun, sejauh mana ia dipraktikkan?
Walaupun ramai yang telah hafal lagu Maher Zain “Barakallahu lakuma wabaraka alaikuma wa Jama’a bainakuma fi khair”, lafaz itu adalah dari hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, diambil dan dijadikan lagu. Walaupun sedap dan ramai orang telah menghafalnya, tetapi berapa ramai yang mengucapkannya kepada pengantin?
Sebab itu, Nabi tidak menjadikan muzik ini sebagai salah satu alternatif atau mekanisme untuk dakwah. Tidak ada satu pun contoh dari Nabi dan para sahabat, mereka tidak pernah berdakwah melalui muzik pun. Jadi kita sebagai pendakwah yang hendak berdakwah, tidak perlulah hendak bermuzik.
Setidak-tidaknya ambillah langkah berhati-hati, supaya tindakan kita itu tidak menjerumuskan kita kepada kemungkaran yang lebih besar. Jangan jadikan muzik sebagai salah satu cara untuk kita berdakwah.
Satu masalah yang sangat besar yang kita hadapi pada hari ini adalah apabila di kalangan ustaz-ustaz sendiri yang mempromosi muzik.
Sepatutnya dia mempromosikan ilmu agama yang ada padanya, ilmu yang diwariskan oleh Nabi, bukan mempromosikan muzik. Ada banyak benda yang lebih penting untuk disampaikan kepada masyarakat, daripada menyibukkan diri dengan muzik dan lagu. Berpegang dengan hadis Nabi di dalam isu ini adalah lebih baik dan selamat.
Sesungguhnya ketenangan bagi jiwa orang yang beriman itu adalah dari alunan Al-Quran Al-Karim. Ketenangan itu bukan datang dari muzik dan lagu, tetapi ia datang dari mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Wallahu a’lam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar